Sejarah Sekolah Kebangsaan Kampong Perak



 
Sekolah Kebangsaan Kampong Perak

Sekolah Kebangsaan Kampung Perak merupakan sebuah sekolah kebangsaan harian (luar bandar) yang terletak di Kampung Perak, Batu Kurau, Perak. Sekolah ini merupakan sekolah rendah kerajaan yang mula ditubuhkan pada tahun 1901. Mengikut sejarah awalnya, sekolah ini asalnya telah dibina di Kampung Padang Lalang dengan nama Sekolah Melayu Kampung Perak. Ia didirikan secara bergotong-royong oleh penduduk kampung. Ketua kampung pada ketika itu, iaitu Tuan Haji Ahmad b. Tok Semanggit merupakan orang yang bertanggungjawab bagi menyelenggarakan pembinaan sekolah tersebut. 

Guru pertama yang mengajar di Sekolah Melayu Kampung Perak ialah Syeikh Omar dengan bilangan murid seramai 30 orang sahaja. Pada tahun 1904 sekolah ini telah dipindahkan ke Banggul Ara. Tapak ini dipilih kerana kedudukannya terletak di persimpangan jalan di antara Batu Kurau, Kampung Anak Kurau dan Kampung Sempeneh. Sekolah ini dibina secara bergotong-royong dalam bentuk bangsal sahaja. Encik Ahmad bin Arpah yang berasal dari Kampung Batu 14, Batu Kurau adalah guru yang pertama mengajar di sekolah yang dipindahkan ke Banggul Ara ini. 

Pada tahun 1906, pihak kerajaan telah mengambil Lot Tanah No. 4588 yang merupakan kepunyaan Puan Hajah Fatimah untuk mendirikan sekolah bagi murid-murid lelaki. Manakala Tuan Haji Ahmad pula telah mewakafkan tanah milik beliau iaitu Lot Tanah No. 2432 dengan keluasan kira-kira dua rantai persegi untuk membina sekolah bagi murid-murid perempuan. Pada waktu tersebut, pentadbiran kedua-dua buah sekolah ini dijalankan secara berasingan.

Pada tahun yang sama juga, Encik Hashim b. Abdul telah dilantik sebagai guru besar di sekolah murid-murid lelaki. Bilangan murid pada waktu itu adalah seramai 50 orang beserta dua orang guru sahaja. Kemudian, jawatan guru besar telah diambil alih oleh Encik Awang Kechil b. Md. Asik, yang berasal dari Sungai Bayor, Selama pada tahun 1908. Encik Awang Kechil terkenal sebagai pawang rimba dan soldadu yang handal dan berani. Bilangan murid pada waktu itu meningkat kepada 60 orang.

Pada waktu itu juga, kawasan di sekeliling sekolah masih lagi dipenuhi dengan hutan dan juga semak samun. Masih wujud binatang-binatang liar yang acapkali berkeliaran di kawasan sekolah, seperti pelanduk dan juga ayam hutan. Jalan utama ialah denai. Kiri dan kanan jalan dipenuhi dengan belukar. Basikal pula, masih tidak dapat digunakan dengan sepenuhnya pada waktu itu.

Seterusnya, pada tahun 1917, Tn. Hj. Mohd Ali bin Sulaiman yang berketurunan Rawa dari Selama dilantik pula sebagai guru besar. Bilangan murid juga semakin bertambah kepada 80 orang dan dengan khidmat 4 orang guru yang mengajar. Pada masa inilah murid-murid diperkenalkan dengan tulisan rumi secara sepenuhnya. Sebelum ini, murid-murid hanya diajarkan dengan tulisan Jawi sahaja. Guru besar, iaitu Tn. Hj. Mohd Ali merupakan seorang guru yang bijak dan selalu berinteraksi dengan penduduk kampung. Oleh hal yang demikian, tidak hairanlah jika beliau sangat disayangi oleh penduduk setempat pada masa itu.

Menjelang 1937, Encik Tun bin Abdullah dari Matang, Taiping menjadi guru besar pula. Semasa Perang Dunia Kedua, Cikgu Tun masih berkhidmat di sekolah ini bersama-sama 7 orang guru yang lain. Guru-guru dan murid-murid terpaksa menghadapi berbagai kesusahan dan kesulitan pada zaman itu. Apabila perang tamat, Cikgu Tun dan guru yang lain masih lagi di sekolah ini beserta 200 orang murid. Cikgu Tun akhirnya berpindah ke Sekolah Tebing Tinggi, Selama dan meninggal dunia di sana. Pada tahun 1953, jawatan guru besar disandang oleh Encik Md. Yusof b. Md. Som, berketurunan Rawa dari Sekolah Melayu Sungai Bayor. Bilangan murid adalah 260 beserta 9 orang guru. 

Pada tahun 1961, sekolah murid lelaki telah digabungkan dengan sekolah murid perempuan. Jawatan Guru Besar di sekolah murid perempuan telah dihapuskan. Bilangan murid pada ketika itu sudah pun meningkat kepada 330 orang. Pada tahun 1963, bangunan sekolah asal telah diruntuhkan kerana rancangan pembangunan luar bandar hendak meluruskan jalan raya dan rancangan tersebut turut melalui kawasan sekolah. Kemudian, bangunan baharu JKR 152 dan 153 serta bangunan KP 3186 telah didirikan. Pihak kerajaan juga telah membeli tanah yang bersebelahan dengan sekolah dari seorang penduduk dengan keluasan 55 x 50 ela persegi untuk dijadikan padang permainan. Tapak pembinaan sekolah yang sebelum ini merupakan kawasan dusun buah-buahan, terpaksa ditebang pokok-pokoknya untuk pembinaan bangunan sekolah dan rumah guru.

Pada tahun 1989, sukan sekolah telah diperkenalkan di sekolah ini. Sejak itu, sukan sekolah telah dijadikan acara tahunan sekolah. Menariknya, dalam sukan sekolah-sekolah kawasan Batu Kurau, Sekolah Kampung Perak sering mendapat tempat pertama. Pada tahun 1974, seorang murid sekolah ini, Nor Aziah binti Mohd Nor telah Berjaya mendapat pingat emas dalam acara lumba lari 200 meter (P) kategori bawah 12 tahun, anjuran Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) di Kuala Terengganu.

Pada tahun 1972, sebuah kantin sekolah dibina. Manakala, kerja-kerja memagar kawasan sekolah pula telah dilaksanakan pada tahun 1976. Menjelang tahun 1984, sebuah bangunan setingkat yang mengandungi empat bilik darjah telah didirikan bagi menampung bilangan murid yang meningkat sehingga 600 orang. Bangunan sekolah ini dibina di atas sebahagian tapak padang sekolah. Pada tahun yang sama juga pihak pentadbiran sekolah terpaksa menggunakan Sekolah Agama Rakyat Kampung Perak sebagai bilik darjah.

Pada tahun 1986, sebuah bangunan baru yang merupakan bangunan baru tiga tingkat yang terdiri daripada 16 bilik darjah telah dibangunkan di tapak bangunan lama. Buat sementara waktu, murid-murid ditempatkan di Sekolah Agama Rakyat Kampung Perak. Bangunan baharu ini telah siap sepenuhnya pada bulan Ogos, 1987 dan dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Malaysia pada ketika itu, iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

(Sumber: Pusat Sumber Sekolah Kebangsaan Kampong Perak)

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Sudut-sudut Menarik di Pusat Sumber Al-Hikmah

Carta Organisasi Pentadbiran dan Staf Sokongan Sek Keb Kampong Perak